Selasa, 27 November 2012

LAGENDA BUDAK SETAN 2

 
OLEH: AJAMI HASHIM

Lagenda Budak Setan 2 ‘Katerina’ (2012) ialah filem sambungan Lagenda Budak Setan (2010) yang berjaya mengutip lebih dari RM4 juta secara kasar. Siri tv dengan judul yang sama juga pernah dibikin sebanyak 26 episod disiarkan di saluran Astro Prima (2010). 

Nampaknya siri novel karya Ahadiat Akashah tidak henti-henti diadaptasi oleh industri filem dan stesen TV tempatan kerana keseronokan kisah novelnya kini boleh dirasai dan direalisasikan di layar lebar.

Selepas kematian Ayu (Lisa Surihani), Kasyah (Farid Kamil) si ‘budak setan’ kini bergelar duda dan bapa kepada seorang bayi perempuan bernama Athirah (adik Sharifah Zahra). Mereka tinggal sebumbung dengan abang kandung Kasyah iaitu Iskandar (Azri Iskandar) di rumah pusaka keluarga mereka. 

Kedengaran seperti sudah aman damai tetapi ribut taufan akan melanda sekali lagi apabila Kasyah dipertemukan semula dengan Katerina (Maya Karin). 

Tunjang utama filem kali ini ialah kehidupan Katerina yang menjadi huru-hara semenjak putus tunang dengan Hisyam (Bront Palarae) seorang lelaki biseksual, juga pada waktu yang sama Katerina jatuh cinta dengan Kasyah. Sekali lagi pengulangan konflik kisah cinta 3 segi yang tragis berlaku seperti filem yang terdahulu LBS1.



Seperti novelnya, filem ini juga sarat dan berselirat dengan subplot yang banyak. Tambahan pula lakonlayar ditulis oleh Ahadiat Akashah bersama penulis skrip dari Indonesia, Jujur Prananto yang terkenal dengan lakonlayar filem Ada Apa Dengan Cinta? (2002) menjadikan jalan ceritanya diperhalusi untuk mengekalkan kronologi dalam novel ‘Katerina’.

Kali ini filem LBS2 mengembangkan cerita keluarga Kasyah iaitu konflik dengan abangnya Iskandar yang mempunyai masalah sosial melibatkan gejala jual-beli dadah. Ia kisah adik-beradik yang menambahkan lagi kerumitan dalam hidup Kasyah. Watak ibu mertua Kasyah, Mak Leha (Shiela Mambo) masih dikekalkan sebagai kesinambungan keluarga arwah Ayu.

Konflik dalaman keluarga Katerina juga diangkat untuk memperlihatkan bagaimana ibubapa Katerina iaitu Sofean (Zulkifli Mohamad @ Zack Kool) dan Sofea (Marissa Yasmin) secara halus cuba menghalang hubungan Katerina-Kasyah. Pilihan keluarganya masih berpihak kepada Hisyam bekas tunangnya. Ditampilkan juga watak Zahirah (Lana Nordin) di tengah kemelut kekeluargaan Katerina untuk menambah kekusutan.

 
Secara ringkasnya LBS2 mengulang semula formula filem melodrama ala Bollywood seperti filemnya yang terdahulunya LBS1. Cuma kisahnya kali ini lebih dewasa seiring perkembangan usia watak Kasyah yang kini melalui zaman sebagai seorang bapa dengan komitmen tinggi untuk membesarkan dan menyara hidup anaknya Athirah. Tiada lagi watak keanak-anakan atau remaja zaman di kampus dahulu. Konflik yang lebih berat melibatkan isu kekeluargaan, rumahtangga, zuriat, keturunan, karier dan hubungan kelamin yang lebih serius menjadi intipati filem ini.

Kisah terpecah kepada 2 keluarga yang mempunyai masalah dalaman masing-masing, keluarga Kasyah dan keluarga Katerina dimana apabila keduanya bertembung tercetus pula orang ketiga iaitu Hisyam. Penonton akan dihambat perasaan bila satu-persatu masalah dan musibah melanda kehidupan dan percintaan Kasyah-Katerina umpama mereka sudah jatuh ditimpa tangga dan ditimpa tangga lagi dan lagi berulang-kali atau terkena badi sial? Malang sungguh malang! 

Secara peribadi, saya suka menonton persembahan para pelakonnya secara berkumpulan. Farid Kamil dan Maya Karin yang kali terakhir pernah berganding dalam filem Anak Halal (2007) kelihatan serasi. Bront Palarae seperti mengulang semula perwatakan gila-gila dan bahaya seperti dalam filem Jiwa Taiko (2012) dan seolah cuba menandingi watak Azmi (Que Haidar) dalam LBS1 dahulu untuk sekuel filem ini.

Azri Iskandar dengan penampilan bertubuh gempal dan berjambang pada awalnya sukar dikenali, juga memberikan lakonan yang meyakinkan. Watak Athirah lakonan adik Sharifah Zahra mampu mencuri perhatian penonton kerana beberapa babak yang comel dan bersahaja daapt ditonton dalam LBS2. Penampilan Siti Khatijah Hassan @ Kat Mentor sebagai watak Lily iaitu kekasih Iskandar hanya muncul menuju penghujung filem tetapi akan dikembangkan di sekuel LBS3 (2013) nanti. Tidak lupa juga cameo oleh Ning Baizura dan Lisa Surihani mampu menguatkan penceritaan.


Namun begitu, LBS2 masih ada beberapa kelemahan kecil dari segi fungsi sesuatu sekuen babak yang janggal bila difikirkan semula. Misalnya kunjungan Kasyah & Katerina ke negara Bhutan di Pergunungan Himalaya sepatutnya atas dasar urusan kerja tetapi babak-babaknya seperti bercuti makan angin sepasang kekasih seperti pembikinan sebuah video klip lagu filem Hindustan? 

Ada juga beberapa ‘continuity’ filem ini yang mungkin nampak pelik misalnya babak Kasyah menolak stroller yang diisi oleh anaknya Athirah, tidak dibawa di dalam LRT dalam babak sebelumnya. Babak Hisyam yang meroyan gila di pagar di rumah pesakit jiwa disunting sebagai ‘intercut’ di antara 2 babak selepas dia ditumbuk oleh Kasyah seolah suntingan non-linear yang tidak kena.

Lagenda Budak Setan 2 ‘Katerina’ boleh dikatakan sebuah karya yang menghiburkan sebagai naskhah adaptasi sebuah novel ke bentuk filem. Mungkin jalan ceritanya kadangkala bersimpang-siur tetapi masih mampu tidak menyesatkan pemahaman penonton. Arahan sinematografi oleh Mike Muschamps berjaya menangkap momen dan latar LBS2 dengan berkesan. 

Tiga buah lagu mendayu-dayu dicipta khas untuk LBS2 iaitu Hampa oleh B’jah, Sejati oleh Ning Baizura dan Cinta oleh Adira. Sharad Sharan sebagai pengarah LBS2 dan produksi Tarantella Pictures sudah tentu seronok membaca ulasan saya ini!


 Klik SINI untuk melihat Official Trailer LBS2


nota bijik: Ombak Rindu pun aku x tgk g..huh 

3 ulasan:

  1. caya atau tidak.aku takminat langsung FK.berlakon pila apa pun. jadi jahat ka jadi baik ka. memang aku tak minat. ntah le el oi...

    memang aku tak nonton la kalau dia berlakon. jahat tak aku

    BalasPadam
  2. sama aku pon..tah nape kurang berminat FK ni eheheheh...kalo de berlakon jantan paling romantik pon aku tak heran muahahahah

    BalasPadam
  3. napa akak dua kat atas ni tak minat FK ? dia ok ape. semmat tauu :)

    btw ziiizzzann bestt ! ahhha *lari tajok

    BalasPadam