Selasa, 29 Mei 2012

MISHA OMAR TANGGUH KAHWIN

 
PASANGAN bakal pengantin ini bersama anak angkat mereka, Muhammad Adam Emir yang di bawah jagaan Misha sejak usianya enam bulan.
 
MISHA Omar antara penyanyi yang jarang berahsia tentang kerjayanya dan juga jejaka pilihan hatinya. Penyanyi berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu misalnya, telah mengumumkan pertunangannya dengan Firos Ezzwan Rossly pada 21 Februari lalu.
Sayangnya, tarikh perkahwinan mereka yang sepatutnya diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini terpaksa ditunda pada tahun depan kerana sebab tertentu. 

Misha atau nama sebenarnya Samihah Omar sekali lagi tidak berahsia tentang masalah tersebut. Malah turut menjelaskan kepada media massa mengapa dia terpaksa menunda tarikh perkahwinannya itu.

Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu, dia terpaksa menunda tarikh perkahwinannya pada tahun depan bagi memberi peluang kepada bakal suaminya yang kini sedang menjalani latihan sebagai juruterbang di Sistem Penerbangan Malaysia (MAS).

“Tarikh perkahwinan ini ditangguhkan sebab kerjaya bakal suami saya. Buat masa ini, saya tahu dia (Firos) sedang stress (tertekan) kerana sedang menjalani latihan di MAS. Sebab itu, saya tidak mahu dia terus stress. Biarlah dia habiskan latihannya terlebih dulu.
“Saya tidak mahu kahwin dalam keadaan terburu-buru dan dalam keadaan yang kelam kabut. Saya juga tidak mahu dia terus bergegas menyambung latihannya sejurus selepas bernikah nanti. Lebih baik dia selesaikan latihannya itu sebelum majlis perkahwinan diadakan.

“Kami mahu suatu permulaan yang baik termasuklah sewaktu majlis perkahwinan kami itu nanti dan ia dalam keadaan yang tenang," katanya sewaktu ditemui pada majlis pengumumannya sebagai jurucakap barangan kosmetik Shiseido di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Bunga-Bunga Cinta itu, dia menganggap penundaan tarikh perkahwinannya itu sebagai salah satu dugaan yang harus ditempuhinya. Namun Misha berkata, itu bukanlah dugaan yang terbesar dalam perhubungannya dengan Firos.

Sebaliknya, sejak menjalin hubungan dengan tunangnya itu pada tahun 2007, Misha pernah dilanda pelbagai cabaran termasuklah pihak lain yang cuba menggugat perhubungan mereka. Semua itu akhirnya berjaya ditempuhi dengan adanya persefahaman di antara mereka.

“Sejak mengenali tunang saya itu lima tahun lalu, macam-macam dugaan saya tempuhi tetapi kami sama-sama yakin dan berusaha mencetuskan persefahaman di antara kami. Antaranya pernah muncul orang ketiga di antara kami yang mahu menganggu perhubungan kami.

“Baik saya mahupun dia masing-masing pernah ‘didekati’ oleh orang lain biarpun tahu kami sudahpun berpunya. Tetapi semua itu berjaya kami hadapi dengan baik. Sekarang kami menuju ke arah yang lebih baik. Hati saya juga semakin tenang dengan adanya lelaki seperti dia.

“Dia seorang yang jujur dan banyak menyokong saya dari depan dan belakang. Saya berharap perkahwinan kami nanti akan berjalan lancar di mana saya hanya impikan sebuah majlis yang ringkas. Walaupun ia majlis tertutup tetapi kami tetap akan menjemput media," ujarnya.

Tunang Misha akur
Bagi Firos Ezzwan, 29, pula, dia menarik nafas lega apabila kesibukannya menjalani latihan sebagai juruterbang MAS mendapat perhatian daripada Misha. Dia menganggap penangguhan perkahwinannya dengan penyanyi itu membuka ruang untuknya lebih tenang sebelum bergelar suami.

Jelas bekas pelajar bidang mekanikal dari Tsurioka Technology College di Yamagata, Jepun itu, dia tidak menduga kursus dan latihan yang disertainya itu berlarutan dari enam bulan menjadi lapan bulan. Namun dia akur dan sanggup melewatkan perkahwinannya demi kerjayanya itu.

“Buat masa ini saya sedang menjalani latihan untuk mengendalikan pesawat Airbus 380 MAS sejak dua bulan lepas. Pada mulanya kursus itu selama tiga bulan tetapi ia berlanjutan sehingga lapan bulan. Sepatutnya, majlis perkahwinan kami itu dirancang pada September tahun ini.

“Tetapi oleh kerana saya perlu menghabiskan kursus dan latihan ini di Subang Jaya maka majlis itu mungkin akan diadakan pada Januari atau Februari tahun depan. Selain berkursus, saya juga menelaah banyak buku sewaktu menjalani latihan penerbangan tersebut," katanya.

Firos yang pernah melanjutkan pengajiannya selama empat tahun di Yamagata dan pernah menimba pengalaman membawa pesawat MAS ke destinasi seperti Hong Kong, Taiwan dan Bali berkata, penangguhan perkahwinan itu tidak melunturkan semangatnya.
Sebaliknya, dia bersyukur kerana tunangnya itu memahami kerjayanya. Pada masa sama, hubungan yang dibina sejak lima tahun lalu bersama penyanyi popular terbabit banyak membantu menguatkan lagi perhubungan mereka agar ia berakhir hingga ke jenjang pelamin.

“Hubungan saya dan Yam (panggilan manja Misha) bermula sewaktu dia mula mengambil anak angkatnya, Muhammad Adam Emir yang ketika itu baru berusia enam bulan dan sekarang sudah pun masuk sekolah tadika. Kami sama-sama membesarkan Adam macam anak kami sendiri.

“Walaupun ada orang gaji di rumah tetapi kami selalu bersama Adam di mana banyak ilmu tentang keibubapaan yang kami pelajari bersama-sama. Ada hikmahnya perkahwinan kami ditangguhkan kerana dalam tempoh itu banyak yang saya boleh pelajari.

“Ia juga memberi ruang saya dan Yam merancang perkahwinan dengan lebih terperinci lagi. Majlis itu akan diadakan di rumah keluarga Yam di Pengkalan Chepa, Kelantan. Selain itu, ia juga akan diadakan di rumah keluarga saya di Seksyen 18 Subang Jaya, Selangor," jelasnya penuh harapan.


4 ulasan:

  1. xpela..
    kalo ada jodoh x kemana kan..

    BalasPadam
  2. doakan yg terbaik jela utk dorg kan :)

    BalasPadam
  3. semuga jodoh mereka berpanjangan..amin..

    BalasPadam
  4. semoga jodoh kalian brkekalan dn berpjangan......amin

    BalasPadam